Contoh Karangan Isu Pencemaran Bahasa
Pencemaran bahasa merangkumi kesalahan bahasa dan aspek tatabahasa yang melibatkan struktur ayat, ejaan, istilah, penggunaan "bahasa rojak" dan sebagainya. Dalam era millenium yang rancak dengan pembangunan dan modenisasi ini, penggunaan bahasa Melayu yang betul dan gramatis hanya dipandang enteng oleh masyarakat. Bahasa yang dahulunya menjadi ‘lingua franca’ kini kian hilang martabatnya apabila penggunaannya yang membabi buta tidak dikenakan tindakan. Hal ini akan menyebabkan bahasa Melayu menjadi satu bahasa yang rendah martabatnya kerana bangsa yang menggunakan bahasa itu sendiri tidak mempunyai inisiatif untuk memperkasakan bahasa Melayu. Oleh itu, pihak yang berkenaan perlulah mengambil langkah yang proaktif dan efisien agar nilai dan martabat bahasa Melayu dapat dikekalkan.
Antara
langkah untuk membendung masalah pencemaran bahasa ialah peranan pihak sekolah.
Di peringkat sekolah, para pelajar sering didedahkan dengan pelbagai kesalahan
bahasa oleh guru-guru Bahasa Melayu. Apabila para pelajar melakukan kesalahan
dalam berbahasa, guru hendaklah menegur dan membetulkan kesalahan mereka.
Biarkan mereka belajar daripada kesalahan mereka sendiri agar kesalahan
tersebut tidak akan diulang lagi. Selain itu, pihak sekolah juga perlu
menganjurkan aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan bahasa. Sebagai contohnya,
pihak sekolah mengadakan bulan bahasa yang diisi dengan pelbagai aktiviti dan
pertandingan seperti pidato, syarahan, kuiz bahasa dan aktiviti lain yang
sesuai. Dengan penyertaan oleh para pelajar, secara tidak langsung mereka
belajar tentang bahasa yang betul, bak kata pepatah, “Sambil menyelam minum
air”.
Pihak
kerajaan pula perlu mengadakan kempen kesedaran untuk memartabatkan bahasa
Melayu. Kempen ini bertujuan untuk
menggalakkan penggunaan bahasa Melayu yang gramatis di samping mengembalikan
martabat bahasa Melayu khususnya dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia.
Kempen ini boleh dilancarkan melalui media massa kerana media massa merupakan
satu komponen yang paling mudah untuk menyebarkan informasi. Dengan kerjasama
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan badan bukan kerajaan (NGO), kempen ini dapat
dijalankan dengan lancar. Dengan kewujudan kempen ini, diharapkan masalah
pencemaran bahasa kalangan masyarakat dapat dielakkan.
Pihak
kerajaan juga perlu mewajibkan semua pegawai dan kakitangan kerajaan
menggunakan bahasa yang gramatis dalam segala urusan rasmi organisasi sama ada
lisan mahupun tulisan. Hal ini bertujuan untuk menerapkan nilai-nilai
penggunaan bahasa yang gramatis dalam sektor kerajaan. Dengan
mengimplimentasikan langkah ini, semua pegawai dan kakitangan kerajaanakan
menggunakan bahasa yang betul setiap kali ingin menulis data, surat ataupun
melakukan pembentangan. Perkara ini jika dibiasakan akan menjadi amalan, sesuai
dengan peribahasa Melayu, “Alah bisa tegal biasa”. Dengan cara ini, masalah
pencemaran bahasa dapat diminimumkan.
Pihak
kerajaan perlu mewajibkan penggunaan bahasa yang gramatis bagi papan-papan
tanda. Hal ini perlu dipandang serius kerana bahasa menunjukkan bangsa. Jika
pelancong asing datang ke negara kita, mereka akan terpengaruh oleh
penggunaan-penggunaan bahasa yang salah, seterusnya masalah pencemaran bahasa
menjadi lebih serius. Oleh itu, papan-papan tanda yang ingin dibuat perlulah
mendapat kelulusan daripada pihak Dewan Bahasa dan Pustaka. Dengan cara ini,
isu pencemaran bahasa dalam kalangan masyarakat akan dapat dibendung. Hal ini
bersesuaian dengan peribahasa Melayu, “Mencegah lebih baik daripada merawat”.
Peranan
ibu bapa juga penting dalam memperkasakan usaha untuk mengatasi masalah
pencemaran bahasa. Ibu bapa perlu membudayakan anak-anak mereka dengan budaya
membaca sejak mereka kecil lagi. Hal ini mempengaruhi minat dan cara anak-anak
menulis ayat dan bercakap. Dalam era dunia tanpa sempadan ini, anak-anak akan
terdedah kepada pelbagai perkataan dan istilah yang kurang baik dan digunakan
sebagai bahasa percakapan harian mereka. Hal ini tidak mendatangkan maslahat
langsung kepada anak-anak, ibu bapa, ataupun negara malahan semakin memburukkan
keadaan. Oleh hal yang demikian, ibu bapa perlu menyediakan pelbagai bahan
bacaan yang berbentuk ilmiah di rumah di samping menekankan aspek-aspek
penggunaan bahasa dengan betul kepada anak-anak sejak kecil kerana hendak
melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Sebagai
kesimpulannya, semua pihak yang berkenaan perlu bekerjasama untuk menjalankan
langkah yang pragmatik bagi menangani masalah pencemaran bahasa. Usaha yang
berterusan dan efisien akan menyebabkan bahasa yang telah diangkat martabatnya
sebagai bahasa kebangsaan ini semakin dihormati dan penggunaannya dapat dibaiki
dari semasa ke semasa. Jika tiada prakarsa daripada mana-mana pihak, maka
pupuslah bahasa dan lenyaplah bangsa. Langkah untuk mengutamakan bahasa Melayu
ini dilakukan agar generasi akan datang dapat merasakan keaslian dan ketulenan
bahasa ibunda mereka yang selama ini diperjuangkan agar "tak lapuk dek
hujan, dan tak lekang dek panas".
0 Comments