Gejala Remaja Lari Dari Rumah


 

Dalam kepesatan pembangunan ekonomi, masyarakat kita berhadapan dengan gelombang perubahan sosial yang mencabar institusi sosial dan keluarga di negara ini. Akibatnya remaja di Malaysia sedang melalui kemelut sosial yang semakin berleluasa. Penglibatan remaja kita dalam kegiatan seks bebas, melepak, jenayah juvana, lari dari rumah dan penagihan dadah memberi tamparan hebat kepada semua lapisan masyarakat serta menjadi tanda tanya kepada pembangunan dan pemodenan yang dikecapi.

Gejala remaja melarikan diri dari rumah berpunca daripada keadaan keluarga yang sunyi dan membosankan. Dewasa ini, ibu bapa terlalu sibuk mengejar kebendaan dan kemewahan. Akibatnya, interaksi dan komunikasi sesama keluarga menjadi renggang dan anak-anak terabai. Keadaan ini menyebabkan anak-anak yang ketagih kasih sayang mengalami perasaan kecewa dan tekanan jiwa. Apabila keadaan ini berterusan, anak-anak mula membenci ibu bapa dan keluarga serta sering bertindak meninggalkan keluarga mereka.

Keruntuhan institusi keluarga atau rumah akibat pertelingkahan antara ibu bapa menyebabkan anak-anak lari dari rumah. Ketiadaan persefahaman dan kurangnya kemahiran mengurus rumah tangga di kalangan suami isteri sering menyebabkan konflik dan keretakan rumah tangga. Akibatnya, keharmonian dan kestabilan keluarga terjejas. Apabila keadaan ini berterusan, anak-anak menjadi bosan dan menanggung penderitaan jiwa lalu bertindak memberontak terhadap keadaan ini dengan melarikan diri dari rumah.

Desakan dan dorongan rakan-rakan sebaya juga memainkan peranan penting dalam kes anak-anak lari dari rumah. Remaja yang terabai dan ketagih kasih sayang bergantung kepada kawan-kawan mereka. Mereka lebih mudah meniru, terikut dan terpengaruh dengan rakan sebaya. Malahan rakan sebaya mengisi sebahagian besar kehidupan mereka. Dalam keadaan ini, mereka sanggup berbuat apa sahaja demi rakan mereka dan bertindak meninggalkan keluarga semata-mata memenuhi kehendak rakan-rakan.

Di samping itu, tarikan kuat dunia luar dan negara berikutan pengaruh budaya Barat turut menjadi punnca utama. Golongan remaja masa kini sering terpengaruh dengan idea kebebasan dan individualistik. Malahan gaya hidup bebas yang penuh keseronokan menjadi idola ramai remaja. Apabila ibu bapa mereka cuba menerapkan nilai-nilai baik dan terpuji, anak-anak menganggap ibu bapa cuba mengongkong kebebasan mereka. Jika keadaan ini berlarutan, anak-anak tidak teragak-agak lagi untuk meninggalkan rumah mereka.

Gejala remaja lari dari rumah juga sering berpunca daripada sikap remaja itu sendiri. Kebanyakan remaja masa kini tidak memiliki ketahanan diri. Malahan mereka memiliki emosi yang rapuh. Keadaan ini sering berpunca daripada kurangnya pendidikan agama dan asuhan moral yang efektif. Asuhan yang tidak menyeluruh menyebabkan keperibadian remaja tidak begitu mantap dan stabil. Mereka mudah terpengaruh dan tidak berupaya menial sesuatu keadaan. Akibatnya, mereka tidak dapat menangani rintangan-rintangan dalam kehidupan mereka. Justeru, mereka sering bertindak terburu-buru apabila menghadapi masalah dan salah satu jalan penyelesaian utama adalah dengan melarikan diri dari rumah.

Remaja harapan bangsa dan negara. Keluarga menjadi wadah paling utama dalam membentuk keperibadian remaja. Oleh yang demikian, segala kepincangan sosial, terutamanya di kalangan remaja wajar dirujuk kepada keadaan keluarga dan sistem sosial secara menyeluruh.

Post a Comment

0 Comments