Dalam mengecapi kemajuan di persada global, negara kita Malaysia telah banyak melakar kejayaan yang membanggakan dalam Kejohanan Sukan Negara. Antara kejayaan yang sudah dikecapi adalah kemenangan Azizulhasni Awang yang telah berjaya menempa nama sebagai juara dunia dalam acara keirin Kejohanan Trek Berbasikal Dunia di Hong Kong. Namun begitu, kejayaan tersebut masih belum lengkap seandainya masih ada skuad sukan tanah air yang lain yang masih lagi belum berjaya di peringkat global. Oleh hal yang demikian, pelbagai inisiatif yang sewajarnya diambil oleh beberapa pihak bagi meningkatkan mutu sukan negara.
Antara langkah yang perlu diambil adalah pihak kerajaan seharusnya menyediakan infrastruktur yang lengkap untuk kegunaan para atlet negara. Antaranya, padang bola sepak yang luas dan bersih, gelanggang tenis yang serba canggih dan lain-lain lagi. Selain itu, peralatan permainan sukan juga seharusnya diperiksa sebelum digunakan supaya berada dalam keadaan baik. Hal ini adalah untuk memastikan tiada sebarang masalah atau perkara yang tidak diingini berlaku ketika latihan sedang berlangsung.
Selain itu, pihak sukan juga seharusnya mengupah jurulatih yang lebih banyak makan garam dalam acara sukan tertentu. Hal ini bertujuan supaya atlet sukan mendapat bimbingan yang betul untuk bertanding dengan atlet-atlet sukan negara lain. Di samping mendedahkan atlet sukan untuk mempraktikkan teknik-teknik yang lebih sesuai dalam permainan mareka supaya mereka lebih tangkas daripada sebelum itu. Sebagai contoh, pemain bola sepak sendiri dapat mengesan strategi lawan apabila memerhati posisi lawan mereka. Tuntasnya, jurulatih yang berpengalaman sewajarnya diupah bagi mencorakkan permainan atlet dengan lebih baik.
Seterusnya, pihak kerajaan mestilah membayar gaji yang tinggi kepada atlet sukan negara. Hal ini adalah untuk memberikan dorongan kepada mereka agar terus berjaya dalam mengecapi kemenangan. Oleh sebab itu, atlet sukan akan merasakan diri mereka lebih dihargai dan tidak lagi akan menganggap sukan ini sebagai kerja sampingan yang boleh dipandang sebelah mata. Mereka pasti akan berlatih bersungguh-sungguh untuk membuktikan bahawa mereka mampu untuk menjadi juara walau dengan sesiapa jua mereka bertanding.
Akhir sekali, pihak tertentu hendaklah menawarkan kepada mereka beberapa pakej tawaran seperti pakej penerbangan percuma, pakej pelancongan ke negara-negara luar dan lain-lain lagi sekiranya mereka berjaya meraih kejayaan. Hal ini adalah sebagai tanda penghargaan kepada mereka kerana telah berjaya mengharumkan nama negara. Tuntasnya, penghargaan haruslah diberikan kepada atlet-atlet yang berjaya sebagai tanda membalas jasa mereka.
Justeru, pelbagai pihak seharusnya mengorak langkah bijak bagi meningkatkan kualiti sukan negara. Antaranya adalah menyediakan infrastruktur yang lengkap, mengupah jurulatih yang berpengalaman, membayar gaji yang tinggi dan memberikan penghargaan kepada atlet-atlet negara yang telah berjaya melakar nama Malaysia di persada dunia sukan. Konklusinya, ambillah langkah yang sepatutnya bagi membantu para atlet untuk menempa kemenangan kerana yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang.
0 Comments