Faktor-Faktor Tercetusnya Pemberontakan Boxer Di China


PENDAHULUAN
Pemberontakan Boxer merupakan satu tindakbalas secara lansung terhadap peristiwa-peristiwa politik, sosial dan ekonomi yang menimbulkan satu krisis dalam kehidupan orang Cina.

Antara tahun 1899-1900 anggota gerakan Boxer telah melancarkan beberapa rusuhan yang bertujuan untuk menghalau orang-orang asing keluar dari negara China serta membunuh orang Cina yang beragama Kristian.


Faktor-Faktor Tercetusnya Pemberontakan Boxer 

POLITIK

Wujudnya Sentimen Anti Asing Di Kalangan Orang Cina
Sentimen anti asing di kalangan orang Cina telah bermula sejak awal abad ke- 17 lagi apabila orang asing telah mula memasuki negari China.

Kekalahan Negara China dalam Perang Candu Pertama (1839-1842) dan Perang Candu Kedua ditangan Inggeris dan kekalahannya ditangan Jepun dalam Perang China-Jepun (1894-1895) menyebabkan Barat dan Jepun menceroboh Negara China sewenang-wenangnya untuk merebut konsesi. 

Perebutan konsesi ini menimbulkan kebimbangan kemungkinan negara China akan dibelah bahagikan sesama kuasa Barat.

Justeru itu adalah menjadi tanggungjawab orang-orang Cina mengusir orang asing keluar dari Negara China.

Wujudnya Semangat Anti Asing Di Kalangan Pihak Istana
Sentemen anti asing ini juga wujud dikalangan sarjana ningrat, pembesar istana dan Maharani Dowager @ balu Tzu Hsi, Putera Chuang dan Kang-i. 

Maharani Dowager atau Tzu Hsi yang merampas kuasa daripada Kuang Hsu pada tahun 1898 telah meneruskan dasar anti-asing. Baginda berhasrat untuk menamatkan hak-hak kewilayahan asing yang diberikan kepada orang asing di negara China. Ini dapat dilihat apabila Maharani Dowager telah menolak permintaan Itali untuk mendapatkan San May Bay di Chikiang.

Perasaan anti asing ini juga timbul dikalangan pegawai istana dan Maharani Dowager juga wujud kerana pihak Inggeris telah memberi bantuan kepada Kang Yi-Wei dan Liang Chih–Chao melarikan diri ke Hong Kong. Kerajaan Jepun juga memberi perlindungan kepada mereka dan memberi kebenaran kepada mereka meneruskan kegiatan mereka menentang kerajaan Manchu melalui akhbar-akhbar yang diterbitkan di Jepun.

Maharani Dowager telah mengarahkan tentera pemimpin Tung Fuh Shing membantu Pemberontakan Boxer. Sementara pembesar-pembesar China telah memberi bantuan senjata kepada anggota-anggota gerakan Boxer.

Sentimen Anti-Kristian
Perkembangan agama Kristian yang pesat di China pada tahun 1890-an iaitu selepas perjanjian Whampao (1844) dan persidangan Peking (1860) telah menambahkan lagi sentimen orang asing di kalangan orang China. Melalui kedua-dua perjanjian ini Mubaligh Kristian diberi perlindungan dan dibenarkan menjalankan kegiatan mereka di negara China. Perkembangan agama Kristian ini dianggap sebagai satu penghinaan terhadap kepercayaan dan falsafah orang-orang China yang berasaskan Confucianisme.

Sentimen anti-Kristian dikalangan orang Cina juga wujud disebabkan oleh sikap orang-­orang Cina yang menganut agama Kristian. Mereka tidak lagi menghormati ajaran Confucianisme, enggan menyembah berhala dan enggan menyertai upacara , perayaan dan hiburan keagamaan dan enggan membayar wang perbelanjaan untuk membiayai perayaan dan hiburan di peringkat kampung atas alasan amalan ini bertentangan dengan amalan Kristian.

Orang Cina Kristian menyifatkan mereka sebagai kelas sosial yang berdarjat tinggi. Anggapan ini dianggap sebagai satu penghinaan bagi orang Cina. Orang Cina menuduh mereka murtad dan mempersalahkan kuasa Barat atas berlakunya perkara begitu. 

Sentimen anti-Kristian ini juga wujud disebabkan tindakan mubaligh-mubaligh Kristian menggunakan cara yang sangsi untuk menarik minat orang Cina menganut agama Kristian. Selain menuntut hak-hak istimewa bagi penganut-penganut Kristian. Mereka juga memberi bantuan kewangan dan campurtangan menyebelahi panganut kristian dalam kes-kes mahkamah yang membabitkan golongan Cina bukan Kristian. 

Tindakan mubaligh campurtangan dalam hal-hal tempatan dianggap keterlaluan dan mencabar kedaulatan undang-undang dan sistem kehakiman negara China. 

Sentimen anti Kristian juga wujud apabila tersebarnya khabar-khabar angin bahawa mubaligh Kristian melakukan perbuatan ganjil dan tidak berperikemanusiaan iaitu mencungkil mata kanak-kanak di kawasan pedalaman. 

Oleh itu orang Cina Kristian dianggap sebagai pengkhianat bangsa kerana mereka telah diperalatkan oleh orang-orang asing. Orang China berpendapat agama Kristianlah yang bertanggungjawab ke atas perpecahan masyarakat China. 


EKONOMI 

Penguasaan Ekonomi Negara China Oleh Orang Asing
Penguasaan ekonomi negara China oleh orang asing selepas pembukaan negara China kepada kuasa-kuasa Barat telah menambahkan lagi sentimen orang asing di kalangan orang China. Penguasaan ekonomi China oleh orang asing ini telah menyebabkan kemelesetan ekonomi China akibat kemasukan barang-barang asing secara berleluasa selepas Perang Candu Pertama. lanya mengancam barang-barang tempatan kerana barang asing jauh lebih bermutu dan murah. Contohnya: kapas dari luar 1/3 murah dari kapas tempatan. Oleh itu, industri tekstil dan pertukangan tangan tempatan terjejas. 

Akibatnya negara Cina menghadapi imbangan perdagangan yang defisit sebanyak 69 juta tael pada tahun 1899. 

Syarikat asing dan pelaburan perusahaan semakin berkembang di negara China. Akibatnya pengusaha-pengusaha tempatan menjadi muflis dan pekerja-pekerja menghadapi pengangguran.

Kekurangan Wang di negara China
Kerajaan China tidak dapat menyelesaikan masalah ekonominya kerana kekurangan wang yang disebabkan oleh kejatuhan ekonominya. Kekurangan wang ini belaku kerana kerajaan China terpaksa menggunakan banyak wang untuk membayar ganti rugi perang. 

Akibatnya kerajaan China terpaksa meminjam wang dari negara luar. Tindakan ini menyebabkan modal asing mencurah-curah masuk ke negara China. Dengan ini, punca-punca ekonomi dan pasaran tempatan dikuasai oleh orang asing. 

Kemerosotan syarikat-syarikat tempatan dan kekayaan yang diekploitasikan oleh pihak asing menambahkan rasa benci orang Cina terhadap orang asing.


SOSIAL

Perkembangan teknologi moden dalam bidang pengangkutan
Kemasukan Barat membawa kepada kemajuan dalam bidang pengangkutan di negara China. !a telah menjejaskan mata pencarian rakyat China yang bergantung kepada pengangkutan tradisional. 

Contohnya: Penggunaan kereta api dan kapal wap moden secara meluas menjejaskan pencarian orang Cina terutama mereka yang mengendalikan pengangkutan kuno seperti kereta lembu, kereta kuda serta tongkang dan sampan. 

Dalam keadaan pendapatan yang berkurangan, kehidupan mereka semakin sulit kerana terpaksa menanggung keluarga dan membayar cukai tinggi serta cukai baru yang diperkenalkan oleh kerajaan Manchu.

Bencana Alam
Penderitaan orang Cina semakin bertambah akibat kejadian-kejadian bencana alam seperti banjir di wilayah sekitar Sungai Yangtze dan Sungai Hwang Ho seperti di Shangtung, Szechuan, Kiangsi dan Ahwei pada tahun 1898.Kemarau juga berlaku di China Utara pada tahun 1900. 

Bencana alam ini menyebabkan kebuluran, kesengsaraan dan kemusnahan harta benda. Dalam hal ini, timbul kongsi-kongsi gelap dan kumpulan-kumpulan perompak melakukan jenayah. 

Orang Cina serta pegawai konservatif menyalahkan orang asing atas bencana alam yang terjadi. 

Pendapat mereka penerokaan tanah bagi tujuan perlombongan, pembinaan jalan kereta api oleh orang asing menyinggung perasaan dewa-dewi kerana telah merosakkan tempat kediaman mereka. Malah mereka percaya pengembangan agama kristian juga mengganggu roh pendita. Oleh itu berlaku bencana alam sebagai balasan. 

Kerja-kerja pembangunan tersebut merupakan kerja berdosa dan mengacau keharmonian alam semesta serta merosakkan ketenangan bumi. Untuk menggelakkan kejadian ini berlaku orang asing harus diusir.

KESIMPULAN
Pada tahun 1899 anggota-anggota gerakan Boxer telah bertindak membunuh orang-orang China yang menganut agama Kristian. Gerakan Boxer yang sebenamya tercetus pada tahun 1900 apabila anggota-anggota gerakan ini bertindak membunuh mubaligh Kristian dan orang asing di wilayah Chihli, Shantung, Shensi dan Manchuria. Gerakan Boxer ini telah berjaya ditumpaskan oleh tentera Bersekutu China akhirnya terpaksa menandatangi protocol Boxer dengan kuasa Barat pada bulan Mac 1901.

Post a Comment

0 Comments